Hell Yeah Pointer 4

Jumaat, 13 November 2020

MAKSUD AYAT SETIAP NABI ITU ADA SYAITAN MANUSIA & JIN



SOALAN :

Di dalam Quran pada surah al-an’am ayat nombor 112 menyebut bagi setiap nabi itu ada syaitan-syaitan.

Apakah maksudnya syaitan bagi nabi-nabi itu?

JAWAPAN :

Firman Allah Taala :

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِىٍّ عَدُوًّا شَيَٰطِينَ ٱلْإِنسِ وَٱلْجِنِّ يُوحِى بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍۢ زُخْرُفَ ٱلْقَوْلِ غُرُورًا ۚ وَلَوْ شَآءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ الأنعام

Artinya : “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh yaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin. Sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah untuk menipu (manusia). Jikalau Tuhanmu menghendaki niscaya mereka tidak akan mengerjakannya maka tinggallah mereka dan apa yang mereka ada-adakan itu.” (Al-An’am : 112)

Berkata Imam Ibnu Kathir :

وكما جعلنا لك - يا محمد - أعداء يخالفونك ، ويعادونك جعلنا لكل نبي من قبلك أيضا أعداء فلا يهيدنك ذلك

Artinya : “Sebagaimana Kami jadikan untukmu wahai Muhammad musuh-musuh yang menentangmu dan memusuhimu maka Kami telah jadikan juga bagi setiap Nabi yang ada sebelummu musuh-musuh tersebut. Maka janganlah engkau bersedih hati kerana yang demikian itu.” (Tafsir Ibnu Kathir)

Maksudnya Allah Taala memberitahu Rasulullah saw bahawa bukan sahaja baginda mempunyai musuh dari kalangan jin dan manusia bahakan para Nabi yang dahlu juga mempunyai musuh dari kalangan jin dan manusia yang Allah gelarkan mereka sebagai syaitan kerana terlampau jahatnya.

Maka musuh utama Rasulullah saw yang disebut sebagai syaitan-syaitan manusia itu ialah sekelian orang-orang Quraish yang memerangi dan menyakitinya dan menghalang dakwahnya. 

Maka ayat ini bertujuan menyukakan hati Rasulullah saw bahawa bukan baginda sahaja yang dimusuhi oleh kaumnya bahkan para Nabi yang dahulu pun dimusuhi oleh kaumnya.

Berkata Imam Baghawi :

فيه تعزية النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَعْنِي: كَمَا ابْتَلَيْنَاكَ بِهَؤُلَاءِ الْقَوْمِ، فَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ قَبْلَكَ أَعْدَاءً

Artinya : “Pada ayat ini menjinakkkan hati Nabi saw yakni maksud yang dihendaki ialah sebagaimana Kami telah menguji akan kamu wahai Nabi dengan mereka itu kaum maka seperti demikianlah Kami telah jadikan bagi setiap Nabi sebelummu musuh-musuh.” (Kitab Tafsir Ma’alim At-Tanzil)

Berkata Al-Alusi :

كلام مبتدأ مسوق لتسلية رسول الله صلى الله عليه وسلم عما [كان] يشاهده من عداوة قريش وما بنوا عليها من الأقاويل والأفاعيل

Artinya : “Firman Allah ini ialah untuk menjinakkan hati Rasulullah saw daripada barang yang disaksikan olehnya daripada permusuhan bangsa Quraish dan yang dibina atasnya dari segala perkataan dan perbuatan jahat mereka.” (Kitab Tafsir Ruhul Ma’ani)

MAKNA SYAITAN

Berkata ulamak lughah :

شَّيْطانُ : كلُّ عاتٍ مُتَمَرِّدٍ من إنْسٍ أَو جِنٍّ

Artinya : “Syaitan ialah setiap yang sangat derhaka dari jenis mansuia atau jin.”

Maka maksud syaitan itu ialah gelaran bagi makhluk yang sangat derhaka dan jahat samada dari jenis jin atau dari jenis manusia bahkan syaitan dari jenis manusia lebih jahat dari syaitan jenis jin.

Dan syaitan juga adalah gelaran bagi mereka yang mengajak manusia kepada berbuat maksiat kepada Allah.

Berkata Imam Al-Maturidi :

أن كلَّ من دعا غيره إلى معصية اللّه والكفر به، فهو شيطان

Artinya : “Sungguhnya setiap mereka yang mengajak yang lainnya kepada derhakakan Allah dan kufur kepada Allah maka dia adalah syaitan.” (Kitab Tafsir Al-Maturidi)

Berkata Imam Aburrazzaq :

Diriwayatkan daripada Ma’mar katanya :

عن قتادة في قوله تعالى شيطين أهل الإنس والجن قال إن من الجن شياطين ومن الإنس شياطين يوحى بعضهم إلى بعض

Artinya : "Daripada Qatadah pada firman Allah ‘syaitan-syaitan’ yaitu dari kalangan manusia dan jin. Berkata Qatadah : Sungguhnya daripada jenis jin itu ada syaitan-syaitan dan daripada jenis manusia ada syaitan-syaitan yang saling membisikkan setengahnya kepada setengahnya.” (Kitab Tafsir Abdurrazzaq)

SYAITAN MANUSIA LEBIH JAHAT DARI SYAITAN JIN

Imam Ibnu Jarir meriwayatkan didalam tafsirnya daripada Abi Zarr r.a. beliau berkata :

أَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم فِي مَجْلِسٍ قَدْ أَطَالَ فِيهِ الْجُلُوسَ، قَالَ، فَقَالَ: "يَا أَبَا ذَرٍّ، هَلْ صَلَّيْتَ؟ ". قَالَ: لَا يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: "قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ". قَالَ: ثُمَّ جِئْتُ فجلستُ إِلَيْهِ، فَقَالَ: "يَا أَبَا ذَرٍّ، هَلْ تَعَوَّذْتَ بِاللَّهِ مِنْ شَيَاطِينِ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ؟ ". قَالَ: قُلْتُ: لَا يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَهَلْ لِلْإِنْسِ مِنْ شَيَاطِينَ؟ قَالَ: "نَعَمْ، هُمْ شَرٌّ مِنْ شَيَاطِينِ الْجِنِّ

Artinya : “Saya telah datang kepada Rasulullah saw pada suatu majlis yang mana dalam majlis itu Rasulullah saw duduk dalam waktu yang agak lama. Lalu Rasulullah bersabda : Wahai Abu Zar! Apakah kamu telah solat? Saya menjawab : Belum wahai Rasulullah." Rasulullah pun berkata : Berdirilah dan kerjakan solat dua rakaat. Kemudian dari selesai solat saya pun datang semula dan duduk  bersama Rasulullah lalu Rasulullah berkata : Wahai Abu Zar! Apakah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari segala syaitan jin dan manusia? Saya menjawab : Tidak wahai Rasulullah. Apakah ada syaitan juga dari kalangan manusia? Kata Rasulullah : Ya. Syaitan dari kalangan manusia lebih jahat dan syaitan-syaitan dari kalangan jin.”

Dan pada satu lagi riwayat dari Abu Zarr r.a. beliau berkata :

قال لي النبي صلى الله عليه وسلم " تعوذ شياطين الانس والجن. قلت: يا رسول الله وللانس شياطين؟ قال: نعم

Artinya : “Nabi saw telah berkata bagiku : Kamu mohonlah perlindungan dari segala syaitan manusia dan jin. Aku berkata : Wahai Rasulullah! Bagi manusia itu ada juga syaitan-syaitan? Nabi menjawab : Ya.” (Riwayat Imam Ahmad & Al-Baihaqi)

Berkata ulamak adalah diantara sebab bahawa syaitan dari kalangan manusia lebih jahat dari syaitan jin ialah syaitan jin itu akan lari ia apabila dibaca akan ta’awwuz manakala syaitan manusia tidak lari daripadanya. 

Berkata Malik bin Dinar :

إِنَّ شَيَاطِينَ الْإِنْسِ أَشَدُّ عَلَيَّ مِنْ شَيَاطِينِ الْجِنِّ، وَذَلِكَ أَنِّي إِذَا تَعَوَّذْتُ بالله ذهب عني شياطين الْجِنِّ، وَشَيْطَانُ الْإِنْسِ يَجِيئُنِي فَيَجُرُّنِي إِلَى الْمَعَاصِي عِيَانًا

Artinya : “Bahawasanya segala syaitan manusia itu lebih bersangatan dari segala syaitan jin dan sebabnya ialah sungguhnya apabila aku membaca ta’awwuz meminta perlidungan dengan Allah nescaya akan lari daripada aku syaitan-syaitan jin. Dan adapun syaitan manusia akan tetap datang kepadaku dan menarik aku kepada segala maksiat terang-terangan.”

Kesimpulannya firman Allah Taala dalah surah Al-An’am ayat ke 112 ini ialah memberitahu bahawa setiap Nabi dan Rasul ada bagi mereka musuh dari kalangan jin dan manusia yang menentang dan memusuhi dakwah mereka.

Berkata Az-Zajaz :

أي وكما جعلنا لك ولأُمَّتِك شياطين الجن والإنس أعداءً كذلك جَعَلْنَا لِمَنْ تَقَدَّمَكَ من الأنبياءِ وأمَمِهم

Artinya : “Maksud ayat ini ialah sebagaimana Kami telah jadikan bagi kamu dan umatmu segala syaitan jin dan syaitan manusia sebagai musuh maka seperti demikianlah Kami telah jadikan bagi para Nabi dan umat mereka yang sebelum kamu.” (Kitab Ma’ani Al-Quran)

Dan hikmah ayat ini diturunkan ke atas Rasulullah saw ialah kerana menggembirakan hati baginda supaya tidak bersedih melihat pelbagai tentangan dari kaumnya sendiri dari kerana sungguhnya sekelian Nabi dan Rasul yang diutuskan sebelum baginda juga dimusuhi oleh kaumnya.

wallahua’lam 
ustaz azhar idrus

Tiada ulasan:

Catat Ulasan