SOALAN :
Berapakah jumlah para Nabi dan para Rasul yang telah diutuskan oleh Allah kepada manusia?
JAWAPAN :
Jumlah yang tepat berapa bilangan para Anbia’ yang telah diutuskan oleh Allah tidak siapa yang mengetahuinya melainkan Allah Taala.
Allah telah berfirman :
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلاً مّن قَبْلِكَ مِنْهُم مّن قَصَصْنَا عَلَيْكَ وَمِنْهُمْ مّن لّمْ نَقْصُصْ عَلَيْكَ
Artinya : “Dan sungguhnya Kami telah mengutuskan Rasul-Rasul sebelum kamu yang setengah dari mereka itu telah Kami ceritakan atas kamu dan setengah dari mereka tidak Kami ceritakan atas kamu.” (Ghafir : 78)
JUMLAH RASUL DI DALAM HADITH
Dan telah diriwayatkan daripada Abu Zar Al-Ghifari r.a. beliau berkata :
يا رسولَ اللهِ أيُّ الأنبياءِ كان أولُ؟ قال: آدمُ، قلتُ: يا رسولَ اللهِ، ونبيٌّ كان؟ قال: نعم نبيٌّ مُكلَّمٌ، قلتُ: يا رسولَ اللهِ: كم المرسلونَ؟ قال : ثلاثُ مئةٍ وبضعةَ عشرَ؛ جمًّا غفيرًا
Artinya : “Wahai Rasulullah! Siapakah dari kalangan para Nabi itu yang pertama? Jawab Rasulullah : Adam. Aku bertanya lagi : Adakah Adam itu seorang Nabi? Rasulullah menjawab : Ya Dia seorang Nabi yang Allah menurunkan wahyu kepadanya. Aku bertanya : Wahai Rasulullah! Berapa ramaikah bilangan para Rasul? Rasulullah menjawab : Tiga ratus dan beberapa belas orang yang mereka sangat ramai.” (Hadith riwayat Ahmad dan Baihaqi dan Al-Hakim)
JUMLAH PARA ANBIYA’ DALAM HADITH
Telah diriwayatkan daripada Abu Zarr r.a. juga beliau berkata :
يَا رَسُولَ اللَّهِ كَمِ الْأَنْبِيَاءُ ؟ قَالَ: ( مِائَةُ أَلْفٍ وَعِشْرُونَ أَلْفًا)
Artinya : “Wahai Rasulullah! Berapa jumlah sekelian para Nabi? Jawab Rasulullah : Seratus dua puluh ribu orang.” (Hadith diriwayatkan didalam Sahih Ibnu Hibban)
Dan pada suatu riwayat menyebut jumlah para Nabi ialah seratus dua puluh empat ribu orang.
Telah diriwayatkan daripada Abu Umamah r.a. beliau berkata :
يا رسولَ اللهِ، كم وَفَّى عِدَّةُ الأنبياءِ؟ قال: مِئةُ ألْفٍ وأربعةٌ وعشرونَ ألْفًا، الرُّسُلُ مِن ذلك ثلاثُ مِئةٍ وخَمسةَ عَشَرَ جَمًّا غَفيرًا
Artinya : Wahai Rasulullah! Berapa jumlah bilangan para Nabi itu? Jawab Rasulullah : Seratus dua puluh empat ribu orang dan yang menjadi Rasul dari mereka itu ialah tiga ratus lima belas orang mereka yang sangat ramai.” (Riwayat Ahmad)
Dan pada riwayat Al-Hakim dan Al-Baihaqi Nabi saw menjawab :
ثَلاَثُمِائَةٍ وَثَلاَثَةَ عَشَرَ
Artinya : “Tiga ratus tiga belas orang.”
Kesimpulannya jumlah para Nabi yang diutus oleh Allah ialah antara 120 ribu hingga 124 ribu orang manakala jumlah para Rasul ialah lebih kurang antara 313 hingga 315 orang.
Harus kita sampaikan jumlah tersebut sebagaimana yang telah diriwayatkan dalam hadith dan wajib kita beriktikad bahawa hanya Allah yang mengetahui jumlah mereka itu dengan tepat.
wallahua’lam
ustaz azhar idrus
Tiada ulasan:
Catat Ulasan