Hell Yeah Pointer 4

Ahad, 15 November 2020

SUNAT-SUNAT DALAM SEMBAHYANG



4. MEMBACA DOA IFTITAH

Disunatkan orang yang sembahyang selepas mengangkat takbiratul ihram ia membaca doa iftitah. 

Dinamakan sebagai iftitah yang bermaksud pembukaan yakni pembukaan bagi sembahyang.

Sunat membaca doa iftitah ini pada semua jenis sembahyang samada sembahyang fardhu atau sunat dan samada ketika berdiri atau duduk dan samada imam atau makmum atau sembahyang sendirian dan samada lelaki atau perempuan dan samada orang dewasa atau kanak-kanak dan pada sembahyang dua hari raya dan sembahyang gerhana pada qiam yang pertama dan sembahyang minta hujan.

Dan tempat dibacakan doa iftitah ini ialah sebelum dari membaca ta’awuz atau basmalah (bismillahirrahmanirrahim).

Berkata Imam Nawawi :

فَيُسْتَحَبُّ لِكُلِّ مُصَلٍّ مِنْ إمَامٍ وَمَأْمُومٍ وَمُنْفَرِدٍ وَامْرَأَةٍ وَصَبِيٍّ وَمُسَافِرٍ وَمُفْتَرِضٍ وَمُتَنَفِّلٍ وَقَاعِدٍ وَمُضْطَجِعٍ وَغَيْرِهِمْ أَنْ يَأْتِيَ بِدُعَاءِ الِاسْتِفْتَاحِ عَقِبَ تَكْبِيرَةِ الْإِحْرَامِ فَلَوْ تَرَكَهُ سَهْوًا أَوْ عَمْدًا حَتَّى شَرَعَ فِي التَّعَوُّذِ لَمْ يَعُدْ إلَيْهِ لِفَوَاتِ مَحَلِّهِ وَلَا يَتَدَارَكُهُ فِي بَاقِي الرَّكَعَاتِ لِمَا ذَكَرْنَاهُ

Artinya : “Maka disunatkan bagi sekelian yang sembahyang daripada imam dan makmum dan yang sendirian dan perempuan dan kanak-kanak dan musafir dan yang sembahyang fardu dan yang sembahyang sunat dan yang sembahyang duduk dan yang berbaring dan lain dari mereka itu bahawa membaca doa iftitah selepas takbiratulihram. Maka jikalau dia meninggalkan membacanya samada dengan lupa atau sengaja sehingga masuk kepada membaca ta’awwuz (a'uzubillah) nescaya tiada lagi diulangi membaca doa iftitah kerana sudah terlepas tempatnya dan tiada ia datangkan (iftitah) pada rakaat-rakaat yang selepasnya kerana barang yang telah kami sebutnya.” (Kitab Al-Majmu’)

Tidak disunatkan membaca doa iftitah pada dua tempat yaitu pada sembahyang jenazah kerana diperintah menyegerakan bawa jenazah ke kubur dan pada sembahyang makmum yang ketinggalan dari imamnya.

Ada beberapa lafaz doa iftitah yang datang di dalam hadith yang dibaca olih Rasulullah saw dan para  sahabat r.a.

Antaranya ialah :

اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا مُسْلِمًا، وَمَا أَنَا مِنْ الْمُشْرِكِينَ، إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنْ الْمُسْلِمِينَ

Artinya : “Allah maha besar sebesar-besarnya. Dan segala puji bagi Allah yang sangat banyak. Dan maha suci Allah pada pagi dan petang.” (Hadith Muslim)

"Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta segala langit dan bumi dalam keadaan tunduk dan menyerah. Dan tidaklah aku dari kalangan orang yang syirik. Sungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah Tuhan sekelian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan demikian itulah aku disuruh. Dan aku dari kalangan orang yang Islam.” (Hadith Muslim, Abu Daud & Ibnu Hibban)

Dan doa iftitah yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. :

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ، اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الْأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ

Artinya : “Ya Allah jauhkanlah antaraku dan segala kesalahanku sebagaimana Engkau jauhkan timur daripada barat. Ya Allah bersihkan aku dari segala kesalahanku sebagaimana dibersihkan pakaian yang putih dari segala kotoran. Ya Allah basuhlah segala kesalahanku dengan air dan salji dan ais.” (Hadith riwayat Syeikhain)

Dan doa iftitah yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. :

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، وَتَبَارَكَ اسْمُكَ، وَتَعَالَى جَدُّكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Artinya : “Mahasuci Engkau ya Allah dengan kepujian-Mu dan maha berkat nama-Mu dan maha tinggi kebesaran-Mu dan tiada tuhan selain-Mu.” (Hadith riwayat Tirmizi & Abu Daud)

Dan doa iftitah yang diriwayatkan daripada Jabir r.a. :

إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ، اللَّهُمَّ اهْدِنَا لِأَحْسَنِ الْأَعْمَالِ وَأَحْسَنِ الْأَخْلَاقِ، لَا يَهْدِي لِأَحْسَنِهَا إِلَّا أَنْتَ، وَقِنِي سَيِّئَ الْأَعْمَالِ، وَسَيِّئَ الْأَخْلَاقِ، لَا يَقِي سَيِّئَهَا إِلَّا أَنْتَ

Artinya : “Sungguhnya solatku dan ibadahku dan hidupku dan matiku bagi Allah yang mentadbir sekelian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan itulah aku diperintahkan dan aku daripada kalangan orang-orang Islam. Ya Allah tunjukilah aku kepada sebaik-baik amalan dan sebaik-baik akhlak. Tiada yang menunjuk kepada sebaik-baiknya kecuali Engkau. Dan peliharalah aku dari buruk segala amalan dan buruk akhlak. Tiada yang memelihara dari seburuk-buruknnya melainkan Engkau.” (Hadith riwayat An-Nasaaie)

Dan doa iftitah yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib r.a. :

وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ، إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أَمَرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ. اللَّهُمَّ أَنْتَ الْمَلِكُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَنْتَ رَبِّي وَأَنَا عَبْدُكَ، ظَلَمْتُ نَفْسِي، وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي ذُنُوبِي جَمِيعًا، إِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، وَاهْدِنِي لِأَحْسَنِ الْأَخْلَاقِ، لَا يَهْدِي لِأَحْسَنِهَا إِلَّا أَنْتَ، وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا، لَا يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلَّا أَنْتَ، لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ كُلُّهُ فِي يَدَيْكَ، وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ، أَنَا بِكَ وَإِلَيْكَ، تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

Artinya : “"Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta segala langit dan bumi dalam keadaan tunduk dan menyerah. Dan tidaklah aku dari kalangan orang yang syirik. Sungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah Tuhan sekelian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan demikian itulah aku disuruh. Dan aku dari kalangan orang yang Islam. Ya Allah Engkaulah yang memiliki kerajaan tiada tuhan selain-Mu. Engkaulah tuhanku dan aku hamba-Mu. Aku telah menzalimi akan diriku dan aku mengaku dengan dosaku maka ampunilah bagiku sekelian dosaku kerana sungguhnya tiada yang mengampunkan segala dosa selain-Mu. Tunjukilah aku kepada sebaik-baik akhak yang tiadalah menunjuk kepada sebaiknya melainkan Engkau. Maha berkat Engkau dan maha tinggi kedudukan-Mu. Aku minta ampun akan Engkau dan aku bertaubat kepada-Mu.” (Hadith riwayat Muslim)

Dan ada beberapa lagi lafaz doa iftitah yang bolih dibaca yang diriwayatkan daripada para sahabat r.a.

Jika seorang sengaja meninggalkan baca doa iftitah maka tidaklah batal sembahyangnya kerana doa iftitah hanyalah sunat dalam sembahyang tetapi luput baginya pahala yang banyak dan tidak sunat ia melakukan sujud sahwi.

Jika makmum yang tidak punya masa yang cukup untuk membaca iftitah dan fatehah maka hendaklah ditinggalkan membaca iftitah dan hendaklah ia membaca yang wajib yaitu fatehah.

Begitu juga tidak sunat bagi makmum membaca iftitah jika dia mendapatkan imam bukan di dalam berdiri seperti dia mendapatkan imam di dalam rukuk atau sujud atau duduk tahyat.

Berkata Imam Nawawi :

وَلَوْ أَدْرَكَ مَسْبُوقٌ الْإِمَامَ فِي التَّشَهُّدِ الْأَخِيرِ فَكَبَّرَ وَقَعَدَ فَسَلَّمَ مع قعودة قام ولا يأتي بدعا الِاسْتِفْتَاحِ لِفَوَاتِ مَحَلِّهِ وَذَكَرَ الْبَغَوِيّ وَغَيْرُهُ قَالُوا: وَلَوْ سَلَّمَ الْإِمَامُ قَبْلَ قُعُودِهِ لَا يَقْعُدُ ويأتى بدعاء الاستفتاح

Artinya : “Dan kalau makmum masbuk mendapatkan imam di dalam duduk tasyahud akhir lalu makmum pun bertakbir dan kemudian dia duduk lalu imam memberi salam ketika dia duduk itu nescaya makmum tersebut tidak lagi membaca doa iftitah kerana sudah terlepas waktunya. Dan telah menyebut oleh Imam Al-Baghawi dan lainnya jikalau imam memberi salam sebelum makmum duduk nescaya makmum disunatkan membaca doa iftitah.” (Kitab Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab)

Adapun jika dia mendapatkan imam dalam keadaan berdiri sekalipun dalam rakaat yang tertinggal maka sunat makmum itu membaca doa iftitah jika luas waktunya untuk membaca iftitah dan fatehah. Dan jika sempit waktunya maka tidak sunat ia membaca iftitah tetapi bacalah fatehah sahaja.

Orang yang sembahyang dihujung waktu jika bimbang dengan sebab membaca fatehah maka sembahyangnya terkeluar dari waktu maka tidak sunat ia membaca doa iftitah.

wallahua’lam 
ustaz azhar idrus

Bersambung...

5.Membaca Ta’awuz

Tiada ulasan:

Catat Ulasan