Hell Yeah Pointer 4

Selasa, 24 November 2020

ORANG BERIMAN YANG MASUK NERAKA



SOALAN :

Penghuni neraka itu kekal di dalamnya. Bagaimana nasib orang beriman yang kena masuk neraka?

Benarkah seorang penceramah yang ada sebut orang beriman yang keluar dari neraka akan mandi dulu dalam satu sungai sebelum masuk syugra?

JAWAPAN :

Orang-orang yang kekal di dalam neraka selama-lamanya ialah orang kafir yang mati ia dalam kafirnya ketika di dunia.

Firman Allah Taala :

وَالَّذِينَ كَفَرُوا وَكَذَّبُوا بِآيَاتِنَا أُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Artinya : “Dan orang-orang yang kafir dan tidak percaya kepada segala ayat-ayat Kami maka mereka itulah penghuni neraka mereka kekal berada di dalam neraka selama-lamanya.” (Al-Baqarah : 39)

Berkata ulamak Ahlu Sunnah adalah orang beriman yang masuk neraka itu ialah mereka yang melakukan dosa dan tidak bertaubat kepada Allah sebelum mati dan apabila ditimbang pada mizan adalah dosanya lebih berat dari pahalanya dan tidak mendapat keampunan dari Allah dan tidak pula mendapat syafaat dari yang memberikan syafaat maka dimasukkan mereka ke neraka untuk menerima hukuman tetapi orang beriman yang masuk neraka ini tidak kekal di dalamnya dengan ijmak ulamak.

ORANG BERIMAN TIDAK KEKAL JIKA MASUK NERAKA

Berkata Imam Nawawi :

قال العلماء: المراد بأهلها الذين هم أهلها الكفار، فلا يخرجون منها أبدًا، ولا يموتون فيها أصلًا.
قال الله تعالى: {وَالَّذِينَ كَفَرُوا لَهُمْ نَارُ جَهَنَّمَ لَا يُقْضَى عَلَيْهِمْ فَيَمُوتُوا وَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمْ مِنْ عَذَابِهَا كَذَلِكَ نَجْزِي كُلَّ كَفُورٍ} [2] وأما من عصاة الموحدين [3]: أصحاب الكبائر، فيعذبون علىِ قدْر ذنوبهم المدةَ التي قدَّرها الله تعالى عليهم،

Artinya : “Berkata ulamak yang dikehendaki dengan ahli neraka sebenar itu ialah ahli neraka yang kafir. Maka mereka itu tidak akan keluar dari neraka selama-lamanya dan mereka tidak akan mati di dalam neraka sampai bila-bila. Allah telah berfirman : Dan orang-orang yang kafir bagi mereka itu neraka Jahannam yang tidak dihukumkan ke atas mereka dengan kematian dan tidak akan diringankan dari mereka itu azabnya. Dan seperti itulah Kami membalas akan sekelian orang-orang yang kafir. Dan adapun orang-orang yang yang derhaka dari kalangan yang mempunyai iman yaitu yang melakukan dosa-dosa besar maka akan diazabkan atas kadar dosa-dosa mereka selama masa yang ditentukan oleh Allah Taala atas mereka itu.” (Kitab Fatawa An-Nawawi)

Jadi adalah orang yang beriman itu samada mereka melakukan amal soleh atau tidak pasti mereka akan dimasukkan ke dalam syurga samada masuk syurga terus atau dimasukkan ke neraka dulu sebab dosa mereka itu.

Diriwayatkan daripada Ubadah bin As-Somit r.a. Nabi saw bersabda :

من شهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأن محمدا عبده ورسوله، وأن عيسى عبد الله ورسوله، وكلمته ألقاها إلى مريم وروح منه والجنة حق والنار حق أدخله الله الجنة على ما كان من العمل

Artinya : “Barangsiapa yang bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah yang tiada sekutu bagi-Nya dan sungguhnya Muhammad itu hamba-Nya dan Rasul-Nya dan sungguhnya Isa itu hamba Allah dan Rasul-Nya dan kalimah-Nya yang ditiupkan kepada Maryam serta ruh daripada-Nya dan syurga itu benar dan neraka itu benar nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga betapa pun amal yang telah dia lakukan.” (Hadith As-Syeikhain)

Maksud hadith ini ialah orang yang beriman dengan Allah dan sekelian rukun-rukun iman akan dimasukkan ke dalam syurga dan sekalipun dia masuk neraka dahulu sebab amal jahatnya namun akhirnya akan masuk ke dalam syurga.

ORANG BERIMAN YANG BERDOSA MENDAPAT KEAMPUNAN ALLAH

Dan banyak hadith-hadith yang datang menyebut bahawa orang yang beriman yang mati dalam iman dan datang bertemu dengan Allah pada hari kiamat dalam keadaan iman akan mendapat keampunan dari Allah.

Telah diriwayatkan sebuah hadith Qudsi daripada Anas bin Malik r.a. Nabi saw bersabda :

" قال الله تعالى : يا ابن آدم، لو أتيتني بقراب الأرض خطايا، ثم لقيتني لا تشرك بي شيئا، لأتيتك بقرابها مغفرة "

Artinya : “Telah berfirman Allah Taala : Wahai anak cucu Adam! Jika kamu datang kepada-Ku dengan membawa dosa sepenuh bumi dan mati kamu dalam keadaan tidak melakukan syirik suatu pun terhadap-Ku nescaya Aku akan memberikan kamu keampunan sepenuh bumi juga.” (Hadith riwayat Tirmizi)

ORANG MUKMIN DIKELUARKAN DARI NERAKA

Telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. daripada Nabi saw bersabda :

يخرج من النار من قال لا إله إلا الله وفي قلبه وزن شعيرة من خير, و يخرج من النار من قال لا إله إلا الله وفي قلبه وزن برة من خير, و يخرج من النار من قال لا إله إلا الله وفي قلبه وزن ذرة من خير

Artinya : “Akan keluar dari neraka orang yang telah menyebut لا إله إلا الله dan di dalam hatinya ada iman seberat biji gandum dan akan keluar dari neraka orang yang telah menyebut لا إله إلا الله dan di dalam hatinya ada iman seberat biji jagung dan akan keluar dari neraka orang yang telah menyebut لا إله إلا الله dan di dalam hatinya ada iman seberat zarrah.” (Hadith riwayat Bukhari)

DIBERSIHKAN DI DALAM SUNGAI SEBELUM MASUK SYURGA

Telah diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri r.a. sungguhnya Rasulullah saw bersabda :

يُدْخِلُ اللَّهُ أَهْلَ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ يُدْخِلُ مَنْ يَشَاءُ بِرَحْمَتِهِ وَيُدْخِلُ أَهْلَ النَّارِ النَّارَ ثُمَّ يَقُولُ انْظُرُوا مَنْ وَجَدْتُمْ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ مِنْ إِيمَانٍ فَأَخْرِجُوهُ فَيُخْرَجُونَ مِنْهَا حُمَمًا قَدْ امْتَحَشُوا فَيُلْقَوْنَ فِي نَهَرِ الْحَيَاةِ أَوْ الْحَيَا فَيَنْبُتُونَ فِيهِ كَمَا تَنْبُتُ الْحِبَّةُ إِلَى جَانِبِ السَّيْلِ أَلَمْ تَرَوْهَا كَيْفَ تَخْرُجُ صَفْرَاءَ مُلْتَوِيَةً

Artinya : “Allah akan memasukkan ahli syurga ke dalam syurga siapa yang Dia kehendaki dengan rahmat-Nya dan memasukkan ahli neraka ke dalam neraka kemudian berkata : Lihatlah kamu sekelian siapa yang kamu dapati di dalam hatinya ada iman seberat biji sawi maka keluarkanlah dia. Lalu dikeluarkanlah maka keluarlah dari neraka dalam keadaan gelap kehangusan lalu dimasukkan mereka itu ke dalam sungai Al-Hayah atau Al-Haya kemudian mereka tumbuh  didalamnya seperti tumbuhnya bijian selepas banjir. Tidakkah kamu lihat ia bagaimana ia keluar dalam keadaan sangat elok dilihat lagi berbau harum?" (Riwayat Imam Muslim)

walahua’lam 
ustaz azhar dirus

Ahad, 15 November 2020

SUNAT-SUNAT DALAM SEMBAHYANG



4. MEMBACA DOA IFTITAH

Disunatkan orang yang sembahyang selepas mengangkat takbiratul ihram ia membaca doa iftitah. 

Dinamakan sebagai iftitah yang bermaksud pembukaan yakni pembukaan bagi sembahyang.

Sunat membaca doa iftitah ini pada semua jenis sembahyang samada sembahyang fardhu atau sunat dan samada ketika berdiri atau duduk dan samada imam atau makmum atau sembahyang sendirian dan samada lelaki atau perempuan dan samada orang dewasa atau kanak-kanak dan pada sembahyang dua hari raya dan sembahyang gerhana pada qiam yang pertama dan sembahyang minta hujan.

Dan tempat dibacakan doa iftitah ini ialah sebelum dari membaca ta’awuz atau basmalah (bismillahirrahmanirrahim).

Berkata Imam Nawawi :

فَيُسْتَحَبُّ لِكُلِّ مُصَلٍّ مِنْ إمَامٍ وَمَأْمُومٍ وَمُنْفَرِدٍ وَامْرَأَةٍ وَصَبِيٍّ وَمُسَافِرٍ وَمُفْتَرِضٍ وَمُتَنَفِّلٍ وَقَاعِدٍ وَمُضْطَجِعٍ وَغَيْرِهِمْ أَنْ يَأْتِيَ بِدُعَاءِ الِاسْتِفْتَاحِ عَقِبَ تَكْبِيرَةِ الْإِحْرَامِ فَلَوْ تَرَكَهُ سَهْوًا أَوْ عَمْدًا حَتَّى شَرَعَ فِي التَّعَوُّذِ لَمْ يَعُدْ إلَيْهِ لِفَوَاتِ مَحَلِّهِ وَلَا يَتَدَارَكُهُ فِي بَاقِي الرَّكَعَاتِ لِمَا ذَكَرْنَاهُ

Artinya : “Maka disunatkan bagi sekelian yang sembahyang daripada imam dan makmum dan yang sendirian dan perempuan dan kanak-kanak dan musafir dan yang sembahyang fardu dan yang sembahyang sunat dan yang sembahyang duduk dan yang berbaring dan lain dari mereka itu bahawa membaca doa iftitah selepas takbiratulihram. Maka jikalau dia meninggalkan membacanya samada dengan lupa atau sengaja sehingga masuk kepada membaca ta’awwuz (a'uzubillah) nescaya tiada lagi diulangi membaca doa iftitah kerana sudah terlepas tempatnya dan tiada ia datangkan (iftitah) pada rakaat-rakaat yang selepasnya kerana barang yang telah kami sebutnya.” (Kitab Al-Majmu’)

Tidak disunatkan membaca doa iftitah pada dua tempat yaitu pada sembahyang jenazah kerana diperintah menyegerakan bawa jenazah ke kubur dan pada sembahyang makmum yang ketinggalan dari imamnya.

Ada beberapa lafaz doa iftitah yang datang di dalam hadith yang dibaca olih Rasulullah saw dan para  sahabat r.a.

Antaranya ialah :

اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا مُسْلِمًا، وَمَا أَنَا مِنْ الْمُشْرِكِينَ، إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنْ الْمُسْلِمِينَ

Artinya : “Allah maha besar sebesar-besarnya. Dan segala puji bagi Allah yang sangat banyak. Dan maha suci Allah pada pagi dan petang.” (Hadith Muslim)

"Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta segala langit dan bumi dalam keadaan tunduk dan menyerah. Dan tidaklah aku dari kalangan orang yang syirik. Sungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah Tuhan sekelian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan demikian itulah aku disuruh. Dan aku dari kalangan orang yang Islam.” (Hadith Muslim, Abu Daud & Ibnu Hibban)

Dan doa iftitah yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. :

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ، اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الْأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ

Artinya : “Ya Allah jauhkanlah antaraku dan segala kesalahanku sebagaimana Engkau jauhkan timur daripada barat. Ya Allah bersihkan aku dari segala kesalahanku sebagaimana dibersihkan pakaian yang putih dari segala kotoran. Ya Allah basuhlah segala kesalahanku dengan air dan salji dan ais.” (Hadith riwayat Syeikhain)

Dan doa iftitah yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. :

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، وَتَبَارَكَ اسْمُكَ، وَتَعَالَى جَدُّكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Artinya : “Mahasuci Engkau ya Allah dengan kepujian-Mu dan maha berkat nama-Mu dan maha tinggi kebesaran-Mu dan tiada tuhan selain-Mu.” (Hadith riwayat Tirmizi & Abu Daud)

Dan doa iftitah yang diriwayatkan daripada Jabir r.a. :

إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ، اللَّهُمَّ اهْدِنَا لِأَحْسَنِ الْأَعْمَالِ وَأَحْسَنِ الْأَخْلَاقِ، لَا يَهْدِي لِأَحْسَنِهَا إِلَّا أَنْتَ، وَقِنِي سَيِّئَ الْأَعْمَالِ، وَسَيِّئَ الْأَخْلَاقِ، لَا يَقِي سَيِّئَهَا إِلَّا أَنْتَ

Artinya : “Sungguhnya solatku dan ibadahku dan hidupku dan matiku bagi Allah yang mentadbir sekelian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan itulah aku diperintahkan dan aku daripada kalangan orang-orang Islam. Ya Allah tunjukilah aku kepada sebaik-baik amalan dan sebaik-baik akhlak. Tiada yang menunjuk kepada sebaik-baiknya kecuali Engkau. Dan peliharalah aku dari buruk segala amalan dan buruk akhlak. Tiada yang memelihara dari seburuk-buruknnya melainkan Engkau.” (Hadith riwayat An-Nasaaie)

Dan doa iftitah yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib r.a. :

وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ، إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أَمَرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ. اللَّهُمَّ أَنْتَ الْمَلِكُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَنْتَ رَبِّي وَأَنَا عَبْدُكَ، ظَلَمْتُ نَفْسِي، وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي ذُنُوبِي جَمِيعًا، إِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، وَاهْدِنِي لِأَحْسَنِ الْأَخْلَاقِ، لَا يَهْدِي لِأَحْسَنِهَا إِلَّا أَنْتَ، وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا، لَا يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلَّا أَنْتَ، لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ كُلُّهُ فِي يَدَيْكَ، وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ، أَنَا بِكَ وَإِلَيْكَ، تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

Artinya : “"Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta segala langit dan bumi dalam keadaan tunduk dan menyerah. Dan tidaklah aku dari kalangan orang yang syirik. Sungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah Tuhan sekelian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan demikian itulah aku disuruh. Dan aku dari kalangan orang yang Islam. Ya Allah Engkaulah yang memiliki kerajaan tiada tuhan selain-Mu. Engkaulah tuhanku dan aku hamba-Mu. Aku telah menzalimi akan diriku dan aku mengaku dengan dosaku maka ampunilah bagiku sekelian dosaku kerana sungguhnya tiada yang mengampunkan segala dosa selain-Mu. Tunjukilah aku kepada sebaik-baik akhak yang tiadalah menunjuk kepada sebaiknya melainkan Engkau. Maha berkat Engkau dan maha tinggi kedudukan-Mu. Aku minta ampun akan Engkau dan aku bertaubat kepada-Mu.” (Hadith riwayat Muslim)

Dan ada beberapa lagi lafaz doa iftitah yang bolih dibaca yang diriwayatkan daripada para sahabat r.a.

Jika seorang sengaja meninggalkan baca doa iftitah maka tidaklah batal sembahyangnya kerana doa iftitah hanyalah sunat dalam sembahyang tetapi luput baginya pahala yang banyak dan tidak sunat ia melakukan sujud sahwi.

Jika makmum yang tidak punya masa yang cukup untuk membaca iftitah dan fatehah maka hendaklah ditinggalkan membaca iftitah dan hendaklah ia membaca yang wajib yaitu fatehah.

Begitu juga tidak sunat bagi makmum membaca iftitah jika dia mendapatkan imam bukan di dalam berdiri seperti dia mendapatkan imam di dalam rukuk atau sujud atau duduk tahyat.

Berkata Imam Nawawi :

وَلَوْ أَدْرَكَ مَسْبُوقٌ الْإِمَامَ فِي التَّشَهُّدِ الْأَخِيرِ فَكَبَّرَ وَقَعَدَ فَسَلَّمَ مع قعودة قام ولا يأتي بدعا الِاسْتِفْتَاحِ لِفَوَاتِ مَحَلِّهِ وَذَكَرَ الْبَغَوِيّ وَغَيْرُهُ قَالُوا: وَلَوْ سَلَّمَ الْإِمَامُ قَبْلَ قُعُودِهِ لَا يَقْعُدُ ويأتى بدعاء الاستفتاح

Artinya : “Dan kalau makmum masbuk mendapatkan imam di dalam duduk tasyahud akhir lalu makmum pun bertakbir dan kemudian dia duduk lalu imam memberi salam ketika dia duduk itu nescaya makmum tersebut tidak lagi membaca doa iftitah kerana sudah terlepas waktunya. Dan telah menyebut oleh Imam Al-Baghawi dan lainnya jikalau imam memberi salam sebelum makmum duduk nescaya makmum disunatkan membaca doa iftitah.” (Kitab Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab)

Adapun jika dia mendapatkan imam dalam keadaan berdiri sekalipun dalam rakaat yang tertinggal maka sunat makmum itu membaca doa iftitah jika luas waktunya untuk membaca iftitah dan fatehah. Dan jika sempit waktunya maka tidak sunat ia membaca iftitah tetapi bacalah fatehah sahaja.

Orang yang sembahyang dihujung waktu jika bimbang dengan sebab membaca fatehah maka sembahyangnya terkeluar dari waktu maka tidak sunat ia membaca doa iftitah.

wallahua’lam 
ustaz azhar idrus

Bersambung...

5.Membaca Ta’awuz

Jumaat, 13 November 2020

MAKSUD AYAT SETIAP NABI ITU ADA SYAITAN MANUSIA & JIN



SOALAN :

Di dalam Quran pada surah al-an’am ayat nombor 112 menyebut bagi setiap nabi itu ada syaitan-syaitan.

Apakah maksudnya syaitan bagi nabi-nabi itu?

JAWAPAN :

Firman Allah Taala :

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِىٍّ عَدُوًّا شَيَٰطِينَ ٱلْإِنسِ وَٱلْجِنِّ يُوحِى بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍۢ زُخْرُفَ ٱلْقَوْلِ غُرُورًا ۚ وَلَوْ شَآءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ الأنعام

Artinya : “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh yaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin. Sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah untuk menipu (manusia). Jikalau Tuhanmu menghendaki niscaya mereka tidak akan mengerjakannya maka tinggallah mereka dan apa yang mereka ada-adakan itu.” (Al-An’am : 112)

Berkata Imam Ibnu Kathir :

وكما جعلنا لك - يا محمد - أعداء يخالفونك ، ويعادونك جعلنا لكل نبي من قبلك أيضا أعداء فلا يهيدنك ذلك

Artinya : “Sebagaimana Kami jadikan untukmu wahai Muhammad musuh-musuh yang menentangmu dan memusuhimu maka Kami telah jadikan juga bagi setiap Nabi yang ada sebelummu musuh-musuh tersebut. Maka janganlah engkau bersedih hati kerana yang demikian itu.” (Tafsir Ibnu Kathir)

Maksudnya Allah Taala memberitahu Rasulullah saw bahawa bukan sahaja baginda mempunyai musuh dari kalangan jin dan manusia bahakan para Nabi yang dahlu juga mempunyai musuh dari kalangan jin dan manusia yang Allah gelarkan mereka sebagai syaitan kerana terlampau jahatnya.

Maka musuh utama Rasulullah saw yang disebut sebagai syaitan-syaitan manusia itu ialah sekelian orang-orang Quraish yang memerangi dan menyakitinya dan menghalang dakwahnya. 

Maka ayat ini bertujuan menyukakan hati Rasulullah saw bahawa bukan baginda sahaja yang dimusuhi oleh kaumnya bahkan para Nabi yang dahulu pun dimusuhi oleh kaumnya.

Berkata Imam Baghawi :

فيه تعزية النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَعْنِي: كَمَا ابْتَلَيْنَاكَ بِهَؤُلَاءِ الْقَوْمِ، فَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ قَبْلَكَ أَعْدَاءً

Artinya : “Pada ayat ini menjinakkkan hati Nabi saw yakni maksud yang dihendaki ialah sebagaimana Kami telah menguji akan kamu wahai Nabi dengan mereka itu kaum maka seperti demikianlah Kami telah jadikan bagi setiap Nabi sebelummu musuh-musuh.” (Kitab Tafsir Ma’alim At-Tanzil)

Berkata Al-Alusi :

كلام مبتدأ مسوق لتسلية رسول الله صلى الله عليه وسلم عما [كان] يشاهده من عداوة قريش وما بنوا عليها من الأقاويل والأفاعيل

Artinya : “Firman Allah ini ialah untuk menjinakkan hati Rasulullah saw daripada barang yang disaksikan olehnya daripada permusuhan bangsa Quraish dan yang dibina atasnya dari segala perkataan dan perbuatan jahat mereka.” (Kitab Tafsir Ruhul Ma’ani)

MAKNA SYAITAN

Berkata ulamak lughah :

شَّيْطانُ : كلُّ عاتٍ مُتَمَرِّدٍ من إنْسٍ أَو جِنٍّ

Artinya : “Syaitan ialah setiap yang sangat derhaka dari jenis mansuia atau jin.”

Maka maksud syaitan itu ialah gelaran bagi makhluk yang sangat derhaka dan jahat samada dari jenis jin atau dari jenis manusia bahkan syaitan dari jenis manusia lebih jahat dari syaitan jenis jin.

Dan syaitan juga adalah gelaran bagi mereka yang mengajak manusia kepada berbuat maksiat kepada Allah.

Berkata Imam Al-Maturidi :

أن كلَّ من دعا غيره إلى معصية اللّه والكفر به، فهو شيطان

Artinya : “Sungguhnya setiap mereka yang mengajak yang lainnya kepada derhakakan Allah dan kufur kepada Allah maka dia adalah syaitan.” (Kitab Tafsir Al-Maturidi)

Berkata Imam Aburrazzaq :

Diriwayatkan daripada Ma’mar katanya :

عن قتادة في قوله تعالى شيطين أهل الإنس والجن قال إن من الجن شياطين ومن الإنس شياطين يوحى بعضهم إلى بعض

Artinya : "Daripada Qatadah pada firman Allah ‘syaitan-syaitan’ yaitu dari kalangan manusia dan jin. Berkata Qatadah : Sungguhnya daripada jenis jin itu ada syaitan-syaitan dan daripada jenis manusia ada syaitan-syaitan yang saling membisikkan setengahnya kepada setengahnya.” (Kitab Tafsir Abdurrazzaq)

SYAITAN MANUSIA LEBIH JAHAT DARI SYAITAN JIN

Imam Ibnu Jarir meriwayatkan didalam tafsirnya daripada Abi Zarr r.a. beliau berkata :

أَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم فِي مَجْلِسٍ قَدْ أَطَالَ فِيهِ الْجُلُوسَ، قَالَ، فَقَالَ: "يَا أَبَا ذَرٍّ، هَلْ صَلَّيْتَ؟ ". قَالَ: لَا يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: "قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ". قَالَ: ثُمَّ جِئْتُ فجلستُ إِلَيْهِ، فَقَالَ: "يَا أَبَا ذَرٍّ، هَلْ تَعَوَّذْتَ بِاللَّهِ مِنْ شَيَاطِينِ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ؟ ". قَالَ: قُلْتُ: لَا يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَهَلْ لِلْإِنْسِ مِنْ شَيَاطِينَ؟ قَالَ: "نَعَمْ، هُمْ شَرٌّ مِنْ شَيَاطِينِ الْجِنِّ

Artinya : “Saya telah datang kepada Rasulullah saw pada suatu majlis yang mana dalam majlis itu Rasulullah saw duduk dalam waktu yang agak lama. Lalu Rasulullah bersabda : Wahai Abu Zar! Apakah kamu telah solat? Saya menjawab : Belum wahai Rasulullah." Rasulullah pun berkata : Berdirilah dan kerjakan solat dua rakaat. Kemudian dari selesai solat saya pun datang semula dan duduk  bersama Rasulullah lalu Rasulullah berkata : Wahai Abu Zar! Apakah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari segala syaitan jin dan manusia? Saya menjawab : Tidak wahai Rasulullah. Apakah ada syaitan juga dari kalangan manusia? Kata Rasulullah : Ya. Syaitan dari kalangan manusia lebih jahat dan syaitan-syaitan dari kalangan jin.”

Dan pada satu lagi riwayat dari Abu Zarr r.a. beliau berkata :

قال لي النبي صلى الله عليه وسلم " تعوذ شياطين الانس والجن. قلت: يا رسول الله وللانس شياطين؟ قال: نعم

Artinya : “Nabi saw telah berkata bagiku : Kamu mohonlah perlindungan dari segala syaitan manusia dan jin. Aku berkata : Wahai Rasulullah! Bagi manusia itu ada juga syaitan-syaitan? Nabi menjawab : Ya.” (Riwayat Imam Ahmad & Al-Baihaqi)

Berkata ulamak adalah diantara sebab bahawa syaitan dari kalangan manusia lebih jahat dari syaitan jin ialah syaitan jin itu akan lari ia apabila dibaca akan ta’awwuz manakala syaitan manusia tidak lari daripadanya. 

Berkata Malik bin Dinar :

إِنَّ شَيَاطِينَ الْإِنْسِ أَشَدُّ عَلَيَّ مِنْ شَيَاطِينِ الْجِنِّ، وَذَلِكَ أَنِّي إِذَا تَعَوَّذْتُ بالله ذهب عني شياطين الْجِنِّ، وَشَيْطَانُ الْإِنْسِ يَجِيئُنِي فَيَجُرُّنِي إِلَى الْمَعَاصِي عِيَانًا

Artinya : “Bahawasanya segala syaitan manusia itu lebih bersangatan dari segala syaitan jin dan sebabnya ialah sungguhnya apabila aku membaca ta’awwuz meminta perlidungan dengan Allah nescaya akan lari daripada aku syaitan-syaitan jin. Dan adapun syaitan manusia akan tetap datang kepadaku dan menarik aku kepada segala maksiat terang-terangan.”

Kesimpulannya firman Allah Taala dalah surah Al-An’am ayat ke 112 ini ialah memberitahu bahawa setiap Nabi dan Rasul ada bagi mereka musuh dari kalangan jin dan manusia yang menentang dan memusuhi dakwah mereka.

Berkata Az-Zajaz :

أي وكما جعلنا لك ولأُمَّتِك شياطين الجن والإنس أعداءً كذلك جَعَلْنَا لِمَنْ تَقَدَّمَكَ من الأنبياءِ وأمَمِهم

Artinya : “Maksud ayat ini ialah sebagaimana Kami telah jadikan bagi kamu dan umatmu segala syaitan jin dan syaitan manusia sebagai musuh maka seperti demikianlah Kami telah jadikan bagi para Nabi dan umat mereka yang sebelum kamu.” (Kitab Ma’ani Al-Quran)

Dan hikmah ayat ini diturunkan ke atas Rasulullah saw ialah kerana menggembirakan hati baginda supaya tidak bersedih melihat pelbagai tentangan dari kaumnya sendiri dari kerana sungguhnya sekelian Nabi dan Rasul yang diutuskan sebelum baginda juga dimusuhi oleh kaumnya.

wallahua’lam 
ustaz azhar idrus

Khamis, 12 November 2020

BILANGAN PARA NABI & PARA RASUL



SOALAN :

Berapakah jumlah para Nabi dan para Rasul yang telah diutuskan oleh Allah kepada manusia?

JAWAPAN :

Jumlah yang tepat berapa bilangan para Anbia’ yang telah diutuskan oleh Allah tidak siapa yang mengetahuinya melainkan Allah Taala.

Allah telah berfirman :

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلاً مّن قَبْلِكَ مِنْهُم مّن قَصَصْنَا عَلَيْكَ وَمِنْهُمْ مّن لّمْ نَقْصُصْ عَلَيْكَ

Artinya : “Dan sungguhnya Kami telah mengutuskan Rasul-Rasul sebelum kamu yang setengah dari mereka itu telah Kami ceritakan atas kamu dan setengah dari mereka tidak Kami ceritakan atas kamu.” (Ghafir : 78)

JUMLAH RASUL DI DALAM HADITH

Dan telah diriwayatkan daripada Abu Zar Al-Ghifari r.a. beliau berkata :

يا رسولَ اللهِ أيُّ الأنبياءِ كان أولُ؟ قال: آدمُ، قلتُ: يا رسولَ اللهِ، ونبيٌّ كان؟ قال: نعم نبيٌّ مُكلَّمٌ، قلتُ: يا رسولَ اللهِ: كم المرسلونَ؟ قال : ثلاثُ مئةٍ وبضعةَ عشرَ؛ جمًّا غفيرًا

Artinya : “Wahai Rasulullah! Siapakah dari kalangan para Nabi itu yang pertama? Jawab Rasulullah : Adam. Aku bertanya lagi : Adakah Adam itu seorang Nabi? Rasulullah menjawab : Ya Dia seorang Nabi  yang Allah menurunkan wahyu kepadanya. Aku bertanya : Wahai Rasulullah! Berapa ramaikah bilangan para Rasul? Rasulullah menjawab : Tiga ratus dan beberapa belas orang yang mereka sangat ramai.” (Hadith riwayat Ahmad dan Baihaqi dan Al-Hakim)

JUMLAH PARA ANBIYA’ DALAM HADITH

Telah diriwayatkan daripada Abu Zarr r.a. juga beliau berkata :

يَا رَسُولَ اللَّهِ كَمِ الْأَنْبِيَاءُ ؟ قَالَ: ( مِائَةُ أَلْفٍ وَعِشْرُونَ أَلْفًا)

Artinya : “Wahai Rasulullah! Berapa jumlah sekelian para Nabi? Jawab Rasulullah : Seratus dua puluh ribu orang.” (Hadith diriwayatkan didalam Sahih Ibnu Hibban)

Dan pada suatu riwayat menyebut jumlah para Nabi ialah seratus dua puluh empat ribu orang.

Telah diriwayatkan daripada Abu Umamah r.a. beliau berkata :

يا رسولَ اللهِ، كم وَفَّى عِدَّةُ الأنبياءِ؟ قال: مِئةُ ألْفٍ وأربعةٌ وعشرونَ ألْفًا، الرُّسُلُ مِن ذلك ثلاثُ مِئةٍ وخَمسةَ عَشَرَ جَمًّا غَفيرًا

Artinya : Wahai Rasulullah! Berapa jumlah bilangan para Nabi itu? Jawab Rasulullah : Seratus dua puluh empat ribu orang dan yang menjadi Rasul dari mereka itu ialah tiga ratus lima belas orang mereka yang sangat ramai.” (Riwayat Ahmad)

Dan pada riwayat Al-Hakim dan Al-Baihaqi Nabi saw menjawab :

ثَلاَثُمِائَةٍ وَثَلاَثَةَ عَشَرَ

Artinya : “Tiga ratus tiga belas orang.”

Kesimpulannya jumlah para Nabi yang diutus oleh Allah ialah antara 120 ribu hingga 124 ribu orang manakala jumlah para Rasul ialah lebih kurang antara 313 hingga 315 orang.

Harus kita sampaikan jumlah tersebut sebagaimana yang telah diriwayatkan dalam hadith dan wajib kita beriktikad bahawa hanya Allah yang mengetahui jumlah mereka itu dengan tepat.

wallahua’lam 
ustaz azhar idrus

Rabu, 11 November 2020

MASALAH TERINGAT BACA FATIHAH TIDAK BETUL


SOALAN :

Kalau seorang itu teringat yang dia tidak membaca fatihah dengan betul dalam solatnya bagaimana cara menyelesaikannya ustaz?

JAWAPAN :

Jika  seorang itu telah meninggalkan membaca fatihah atau tertinggal satu ayat daripada fatihah atau satu kalimah atau satu huruf daripadanya dan dia masih berada pada rakaat tersebut dan belum lagi rukuk nescaya wajib mengulangi membacanya kemudian rukuk semula dan meneruskan solatnya.

Jika dia telah berada dalam duduk tasyahud akhir maka wajib dia berdiri menambah satu lagi rakaat kerana rakaat yang tidak dibaca fatihah dengan betul itu tidak dikira.

Berkata Imam Al-Muzani :

فَإِنْ تَرَكَ مِنْ أُمِّ الْقُرْآنِ حَرْفًا وَهُوَ فِي الرَّكْعَةِ رَجَعَ إلَيْهِ وَأَتَمَّهَا وَإِنْ لَمْ يَذْكُرْ حَتَّى خَرَجَ مِنْ الصَّلَاةِ وَتَطَاوَلَ ذَلِكَ أَعَادَ.

Artinya : “Maka jika seorang meninggalkan membaca satu huruf daripada fatihah dan dia sedang berada pada rakaat tersebut nescaya hendaklah dia ulangi membacanya dengan sempurna. Dan jika tidak ia ingat sampailah dia keluar dari solat dan telah panjang peceraiannya nescaya hendaklah dia ulangi akan solat.” (Kitab Muhktasar Al-Muzani)

KETERANGAN

Jika seorang yang sedang solat lalu dia teringat selepas membaca fatihah bahawa dia tersalah ketika membacanya maka baginya beberapa keadaan :

Jika dia teringat telah salah ketika membacanya itu dan dia masih pada rakaat yang sama dan belum membaca surah maka hendaklah dia ulangi dari ayat yang salah kemudian membaca ayat yang selepasnya hingga selesai.

Jika dia teringat ketika sudah memulai membaca surah atau selepas membaca surah maka hendaklah dia ulangi membaca fatihah dari awal.

Jika dia teringat ketika sudah rukuk atau sudah sujud atau sudah tasyahud maka hendaklah dia bangun segera dan membaca fatihah dari awal kemudian lakukan rukuk dan rukun yang seterusnya kembali kerana semua rukun yang dia telah kerjakan itu tidak sah kerana belum sah bacaan fatihahnya di dalam qiam dan hendaklah dia sujud sahwi dua kali sujud sebelum salam.

Jika dia teringat selepas memberi salam tetapi belum melakukan perkara yang membatalkan solat dan tidak panjang masanya dari masa teringat dan masa memberi salam maka hendaklah dia berdiri dan menambah satu rakaat dan sujud sahwi sebelum salam.

Jika dia teringat selepas panjang masa antara teringat dan masa salam atau telah melakukan perkara yang membatalkan solat seperti bercakap atau makan minum nescaya wajib dia ulangi solat tersebut dari awal.

wallahua’alam
ustaz azhar idrus

Selasa, 10 November 2020

HUKUM SUJUD SETIAP KALI SELESAI SOLAT


SOALAN :

Saya ada dua soalan nak tanya ustaz.

Adakah harus anak menghurmati kedua ibu bapa dengan cara sujud kepada mereka tetapi bukan niat sujud seperti sujud kepada Tuhan?

Apakah hukum perbuatan setengah orang yang sujud setiap kali selesai dari solat fardu?

JAWAPAN :

Haram hukumnya sujud kepada manusia samada ibu bapa atau guru atau raja atau lainnya.

Akan tetapi jika dia sujud itu kerana membesarkan orang yang dia sujud itu nescaya jadilah dia kafir.

Begitu juga tidak harus sujud setiap selesai dari solat fardu kerana tiada baginya sebab sebagaimana sujud syukur yang mempunyai sebab.

Ada pun jika selepas solat lalu dia melihat suatu nikmat yang besar seperti anaknya telah dilahirkan atau masjid telah dibuka semula maka harus hukumnya dia sujud kerana itu dinamakan sujud syukur.

Berkata Syeikh Khatib Syarbini :

وَلَوْ تَقَرَّبَ إلَى اللَّهِ بِسَجْدَةٍ مِنْ غَيْرِ سَبَبٍ حَرُمَ وَلَوْ بَعْدَ صَلَاةٍ كَمَا يَحْرُمُ بِرُكُوعٍ مُفْرَدٍ وَنَحْوِهِ

Artinya : “Dan jikalau seorang itu mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan sujud tanpa sebab nescaya haram ia sekalipun selepas solat sebagaimana haram dia melakukan rukuk semata-mata dan seumpamanya.

Dan kata Syeikh Khatib lagi :

وَمِمَّا يَحْرُمُ مَا يَفْعَلُهُ كَثِيرٌ مِنْ الْجَهَلَةِ مِنْ السُّجُودِ بَيْنَ يَدَيْ الْمَشَايِخِ وَلَوْ إلَى الْقِبْلَةِ أَوْ قَصَدَهُ لِلَّهِ تَعَالَى. وَفِي بَعْضِ صُوَرِهِ مَا يَقْتَضِي الْكُفْرَ

Artinya : “Dan setengah dari perbuatan yang haram ialah amalan yang dilakukan oleh ramai dari orang-orang jahil yaitu sujud di depan para guru sekalipun mengadap kiblat atau qasadnya kerana Allah. Pada setengah dari rupa sujud begini boleh menjerumuskan kepada kekufuran.” (Kitab Mughni Al-Muhjtaj)

Sujud yang dibenarkan ialah sujud sembahyang dan sujud syukur dan sujud sajadah. Selain daripada sekelian ini haram melakukan sujud.

Harus melakukan sujud yang yang bukan di dalam sembahyang dan bukan juga sujud syukur atau sajadah tapi seujud kerana mengajar muridnya cara sujud yang betul.

wallahua’lam 
ustaz azhar idrus

MINTA KEMBALI HADIAH PERTUNANGAN


SOALAN :

Selepas bertunang andainya ditakdirkan tidak jadi meneruskan perkahwinan adakah boleh diminta kembali hadiah yang telah diberikan pada majlis pertunangan dibuat seperti cincin dan sebagainya?

JAWAPAN :

Haram meminta semula hadiah dan pemberian yang telah diberikan kepada seseorang samada kerana bertunang atau lainnya melainkan pemberian dari seorang bapa kepada anaknya.

Dari Ibnu ‘Umar r.a. dari Nabi saw baginda bersabda :

لاَ يَحِلُّ لِلرَّجُلِ أَنْ يُعْطِيَ عَطِيَّةً ثُمَّ يَرْجِعُ فِيهَا إِلاَّ الْوَالِدَ فِيمَا يُعْطِي وَلَدَهُ.

artinya : "Tidak halal bagi seseorang bahawa memberi ia satu pemberian kemudian dia mengambil kembali pemberiannya itu melainkan bapa pada pemberian yang telah ia berikan kepada anaknya." (Hadith Abud Daud dan Tirmizi)

Telah menyebut oleh Dr Wahbah Zuhaili :

ورأى الشافعية والحنابلة: أنه ليس للخاطب الرجوع بما أهداه؛ سواء أكانت موجودة أم هالكة لأن للهدية حكم الهبة ولا يجوز عندهم للواهب أن يرجع في هبته بعد قبضها إلا الوالد فيما أعطى ولده

Artinya : “Dan pendapat ulamak mazhab Syafie dan Hanbali sungguhnya tidak boleh bagi yang meminang meminta kembali dengan barang yang telah diberikannya samada barang tersebut masih ada atau sudah rosak kerana hadiah itu hukumnya seperti hibbah. Dan tidak harus disisi mereka bagi yang memberi bahawa meminta kembali pada pemberiannya itu kemudian dari diterimanya kecuali bapa pada barang yang diberikan kepada anaknya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Ada pun jika dibuat syarat pulangkan kembali jika tidak jadi bernikah dan bersetuju oleh yang menerima maka harus hukumnya meminta kembali.

Sebaiknya jika putus tunang jangan diminta semula apa yang telah diberikan kerana sabit bag pemberian tersebut pahala disi Allah.

Jika bapa memberi suatu harta kepada anaknya maka harus bapa meminta kembali dan wajib anak memulangkan semula.

wallahua’lam 
ustaz azhar idrus