Hell Yeah Pointer 4

Khamis, 9 April 2020

HUKUM BERZIKIR DENGAN MENGANGKAT SUARA - UAI

SOALAN :

Saya mahu tahu pasal majlis berzikir ramai-ramai di setengah masjid atau musalla yang mana dengan suara yang kuat.
Tapi ada setengah tempat mereka berzikir dengan perlahan.

Apakah hukumnya zikir dengan menguatkan suara ini?

JAWAPAN :

Berzikir itu adalah satu amalan yang sangat dikasihi olih Allah dan disuruh olih Rasulullah saw.

Para ulamak sepakat mengharuskan berzikir itu samada dengan suara kuat atau dengan perlahan kerana datang hadith-hadith yang menyebut bahawa di zaman Rasulullah saw dan para sahabat r.a. ada berzikir dengan suara perlahan dan ada berzikir dengan suara kuat.

Berkata Imam Suyuthi :

وقد وردت أحاديث تقتضي استحباب الجهر بالذكر، وأحاديث تقتضي استحباب الإسرار به، والجمع بينهما أن ذلك يختلف باختلاف الأحوال والأشخاص

Artinya : “Dan sungguh telah datang segala hadith membawa maksud disunatkan angkat suara pada berzikir dan telah datang juga segala hadith membawa maksud disunatkan perlahankan suara pada berzikir. Sebagai menghimpunkan kedua-dua hadith yang berlawanan ini ialah kuat atau perlahan itu berbeda dengan bedanya keadaan dan orang yang berzikir tersebut.”(Kitab Natijah Al-Fikri fi al-Jahri bi az-Zikri)

Ada pun mana yang lebih afdhal samada perlahan atau kuat maka ulamak telah berselisih pada hukumnya.

Berikut beberapa hadith yang menjadi sandaran ulamak yang mengharuskan zikir dengan suara yang kuat :

Daripada Abu Hurrairah r.a. katanya : Rasulullah saw bersabda :

“يقول الله: أنا عند ظن عبدي بي وأنا معه إذا ذكرني، فإن ذكرني في نفسه ذكرتُه في نفسي، وإن ذكرني في ملأ ذكرتُه في ملأ خير منهم”

Artinya : “Allah telah berfirman : Aku adalah menurut sangkaan hamba Ku terhadap Ku dan Aku bersamanya apabila dia berzikir menyebut Ku. Maka jika dia berzikir menyebut Ku dalam dirinya nescaya Aku akan menyebutnya dalam diri Ku. Dan jika dia berzikir menyebut Ku dikhalayak ramai (yakni dengan suara kuat) nescaya Aku menyebutnya pada khalayak yang lebih baik lagi dari mereka.” (Hadith Bukhari)

Daripada Zaid bin Aslam r.a. berkata : Telah berkata olih Ibnu Al-Adra’ r.a. :

انطلقت مع النبي صلى الله عليه وسلم ليلة؛ فمر برجل في المسجد يرفع صوته، قلت: يا رسول الله عسى أن يكون هذا مرائياً؟ قال: “لا، ولكنه أوَّاه

Artinya : “Aku telah pergi bersama Nabi saw kemudian melalui seorang lelaki yang mengangkat suaranya di dalam masjid (yakni sedang beribadah). Lalu aku bertanya : Wahai Rasulullah! Mungkinkah lelaki ini seorang yang riak? Nabi menjawab : Tidak akan tetapi dia seorang yang sedang hiba.” (Hadith Imam Ahmad & At-Tabarani)

Nabi saw tidak menegur perbuatan lelaki itu menjadi dalil atas harusnya.

Daripada Ibnu Abbas r.a. berkata :

إن رفع الصوت بالذكر حين ينصرف الناس من المكتوبة كان على عهد النبي صلى الله عليه وسلم. قال ابن عباس: كنت أعلم إذا انصرفوا بذلك إذا سمعته

Artinya : “Sungguhnya mengangkat suara dengan berzikir selepas selesai solat fardu itu berlaku ia pada zaman Nabi saw. Aku dapat mengetahui manusia hendak bersurai dengan aku dengar suara zikir yang kuat begitu.” (Riwayat Bukhari)

Daripada As-Saaib r.a.bahawasanya Rasulullah saw bersabda :

مُرْ أصحابك يرفعوا أصواتهم بالتكبير

Artinya : “Telah datang kepadaku olih malaikat Jibril berkata : Perintahlah para sahabatmu mengangkat mereka itu akan suara mereka itu dengan ucapan takbir.” (Riwayat Tirmizi dan Abu Daud dan Ahmad)

Dan banyak lagi hadith-hadith yang menerangkan keharusan berzikir dengan suara yang kuat.

Jadi jelas pada hadith-hadith ini harus hukumnya berzikir dengan suara yang kuat.

Maksud diharuskan zikir dengan suara yang kuat ini ialah selama tidak mengganggu orang yang sedang solat di dalam masjid.

Berkata Syeikh As-Sya’rawi :

وأجمع العلماء سلفاً وخلفاً على استحباب ذكر الله تعالى جماعة في المساجد وغيرها من غير نكير، إلا أن يشوش جهرهم بالذكر على نائم أو مصلٌّ أو قارىء قرآن، كما هو مقرر في كتب الفقه [“حاشية الطحطاوي على مراقي الفلاح (حاشية الطحطاوي على مراقي الفلاح شرح نور الإيضاح، ص٣١٨، دار الكتب العلمية)

Artinya : "Telah ijmak olih ulamak salaf dan khalaf atas disunatkan berzikir menyebut Allah secara berkumpulan di dalam segala masjid atau lain dari masjid tanpa diingkarkan kecuali ia bolih mengganggu orang lain dengan zikir yang kuat itu atas orang yang sedang tidur atau yang sedang solat atau membaca Quran atau yang sedang belajar kitab-kitab fiqah.” (Kitab Hasyiah At-Thohtowi ‘ala Miqatil Falah)

Sebahagian ulamak menyatakan kuat atau perlahan suara zikir itu bergantung kepada individu yang berzikir itu sendiri. Jika hatinya lalai dengan zikir perlahan maka hendaklah dia berzikir dengan suara yang kuat. Begitu juga sebaliknya dan ada ulamak yang mengatakan kuat atau perlahannya suara zikir berbeda-beda mengikut kebiasaan sesebuah masjid atau mengikut keperluan sekadar yang dihajati.

Berkata Imam Nawawi :

أن الجهر بالذكر حيث لا محذور شرعاً؛ مشروع مندوب إليه

Artinya : “Sungguhnya zikir dengan kuat ini sekira-kira tidak dilarang ini adalah disyariatkan lagi disunatkan kepadanya."  (Kitab Fatawa Imam Nawawi)

Dan sebahagian ulamak menyebut yang dimaksudkan dengan zikir dengan suara yang kuat ini ialah suara yang pertengahan bukan sampai terjerit-jerit dan zikir dengan suara perlahan itu ialah setakat dengar pada telinga orang yang berzikir sahaja.

Berkata Imam Al-Alusi :

واختار بعض المحققين أن المراد دون الجهر البالغ أو الزائد على قدر الحاجة فيكون الجهر المعتدل، والجهر بقدر الحاجة داخلاً في المأمور به؛ فقد صح ما يزيد على عشرين حديثاً في أنه صلى الله عليه وسلم كثيراً ما كان يجهر بالذكر

Artinya : “Dan telah memilih sebahagian ulamak muahaqqiqin bahawa yang dikehendaki ialah tidak terlalu kuat atau melebihi hajat keperluan maka jadilah maksudnya kuat yang sederhana.
Dan zikir kuat sekadar hajat ini termasuk dalam perkara yang disuruh dengannya. Maka sungguhnya telah sahih lebih dari dua puluh hadith bahawa Nabi saw pada kebanyakkan adalah menguatkan suara dengan berzikir.” (Tafsir Al-Alusi)

wallahua'lam

ustaz azhar idrus

Tiada ulasan:

Catat Ulasan