SOALAN :
Apakah hukumnya seorang yang sembahyang fardu mengikut imam yang sembahyang sunat?
Wujudkah perbedaan pendapat ulamak mazhab dalam soal ini?
JAWAPAN :
Terjadi perselisihan ulamak dalam soal ini.
Ulamak-ulamak mazhab Syafie dan Hanbali berpendapat sah orang yang solat sunat mengikut imam yang solat fardu dan begitu juga sah seorang yang solat fardhu mengikut imam yang solat sunat kerana tiada perbedaan pada jenis solat yang didirikan olih imam dan makmum sekalipun niatnya berbeda.
Jika berbeda solat yang dikerjakan antara imam dan makmum maka tidak sah ikutan tersebut. Solat yang berbeda itu ialah solat gerhana dan solat jenazah.
Olih itu tidak sah makmum yang solat dhuha mengikut imam yang solat gerhana contohnya atau sebaliknya kerana solat gerhana ada pada satu rakaat itu dua kali qiam dan dua kali rukuk.
Begitu juga makmum yang solat sunat atau fardu mengikut imam yang solat jenazah atau sebaliknya kerana berbeda rupa solatnya yaitu solat jenazah tidak mempunyai rukuk dan sujud dan duduk tahyat.
Untuk mengetahui perbedaan ulamak-ulamak mazhab dalam bab ini bolih kita lihat keterangan berikut yang apa yang tersebut dalam kitab Al-Bayan :
فرع صلاة الفريضة خلف المتنفل]
يجوز للمفترض أن يأتم بالمتنفل، مثل: أن يصلي العشاء خلف من يصلي التراويح، فإذا سلم الإمام قام المأموم، فأتم صلاته.
ويجوز للمتنفل أن يأتم بالمفترض، كمن نوى أربع ركعات تطوعًا خلف من يصلي العشاء، ويجوز للمفترض أن يأتم بالمفترض في صلاة أخرى، كمن يصلي الظهر خلف من يصلي العصر، هذا مذهبنا، وبه قال عطاء، وطاوس، والأوزاعي، وأحمد، وإسحاق.
وقال الزهري، وربيع، ومالك، ويحيى الأنصاري: (إذا اختلفت نية الإمام والمأموم لم يصح أن يأتم به) .
وقال أبو حنيفة وأصحابه: (يجوز للمتنفل أن يصلي خلف المفترض، ولا يجوز للمفترض أن يصلي خلف المتنفل، ولا للمفترض أن يصلي خلف المفترض، إذا اختلف فرضاهما
Artinya :
“Furu’ pada menerangkan solat fardu dibelakang yang solat sunat.
Harus bagi yang solat fardu bahawa dia ikut yang solat sunat seperti ia solat isyak dibelakang yang solat tarawih. Maka apabila imam memberi salam hendaklah ia sempurnakan solatnya. Dan harus yang solat sunat bahawa dia mengikut yang solat fardu seperti orang yang niat empat rakaat sunat solat dibelakang yang solat isyak. Dan harus yang solat fardu mengikut yang solat fardu pada solat yang lain seperti yang solat zuhur dibelakang yang solat asar. Inilah mazhab kami (Syafie). Dan dengan ini juga berkata Atha’ dan Thawus dan Al-Auza’ie dan Imam Hanbali dan Ishaq.
Dan berkata Imam Az-Zuhri dan Rabi’ dan Imam Malik dan Yahya Al-Ansari : Apabila bersalahan niat imam dan makmum nescaya tidak sah bahawa diikut dengannya.
Dan berkata Imam Hanafi dan ashabnya : Harus bagi yang solat sunat bahawa ia solat dibelakang yang solat fardu dan tiada harus yang solat fardu dibelakang yang solat sunat dan tiada harus juga yang solat fardu dibelakang yang solat fardu jika berlainan kefarduan keduanya.” (Al-Bayan Fi Fiqhi Syafie juz 2 m.s. 410)
wallahua’lam
ustaz azhar idrus
Tiada ulasan:
Catat Ulasan